Siti Sara binti Mohamed Jamil
Monday, May 16, 2016 11:45 AM
Assalamualaikum w.b.t Saya merupakan seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Beberapa minggu lepas, saya membuat lawatan ke Jabatan Alam Sekitar untuk memperolehi maklumat berkaitan Sungai Semenyih. Saya memerlukan maklumat tersebut bagi membantu kajian saya tentang sungai tersebut. Saya diberitahu untuk menulis surat kepada pihak Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan maklumat tersebut. Beberapa hari yang lepas, saya telahpun menghantar surat kepada pihak Jabatan Alam Sekitar. Bagi memperoleh maklumat tersebut, adakah saya perlu ke bangunan Jabatan Alam Sekitar bagi memperoleh data tersebut ataupun akan dihantar ke alamat yang telah diberi ?
Sekian Terima Kasih.
Yang benar,
Siti Sara binti Mohamed Jamil
Tue 17 Mei 2016 8:08 AM
PERMOHONAN DATA BERKAITAN KUALITI AIR, JABATAN ALAM SEKITAR
Saya dengan hormatnya diarah merujuk perkara di atas
2. Bagi tujuan permohonan data berkaitan kualiti air sungai atau marin, Encik/Cik/Tuan/Puan hendaklah mengemukakan perkara-perkara berikut:
i) Borang permohonan data (Borang DA/1/08) yang lengkap;
ii) Surat pengesahan yang ditandatangani oleh Penyelia/Pensyarah projek/kajian dengan menggunakan kertas letterhead Universiti/Jabatan (nyatakan tajuk kajian dan keperluan data); dan/atau
iii) Surat yang menyatakan keperluan data serta impak ke atas objektif kajian sekiranya data tidak mencukupi. (Bagi permohonan data yang melebihi tempoh lima tahun); dan
iv) Intipati projek/kajian yang menerangkan objektif, skop penggunaan data JAS, metodologi kajian dan hasil yang dijangka diperoleh daripada kajian.
3. Dimaklumkan bahawa tempoh pemprosesan permohonan adalah 10 hari bekerja bermula dari hari permohonan lengkap diterima.
4. Data yang dibenarkan adalah data bagi tahun terkini di mana Laporan Environmental Quality Report telah diterbitkan. (Enviromental Quality Report, 2014) hingga ke tahun-tahun sebelumnya. Secara asas, tempoh data yang dibenarkan adalah lima tahun. (i.e: 5 tahun antara Tahun 2010-2014). Jika keperluan data melebihi 5 tahun, sila sertakan perkara (iii) di atas untuk penelitian lanjut.
5. Setakat ini, tiada apa-apa yuran atau bayaran bagi permohonan berkaitan data kualiti air daripada Jabatan ini.
6. Sekiranya permohonan Encik/Cik/Tuan/Puan diluluskan, adalah difahami bahawa Encik/Cik/Tuan/Puan telah bersetuju untuk mematuhi semua syarat-syarat seperti berikut;
i. Data-data tidak boleh digunakan untuk tujuan selain daripada yang telah ditetapkan dalam Borang Permohonan melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Jabatan.
(The data shall not be used for any purpose other than the purpose(s) as spesified in the Application Form without the prior written permission of the Department).
ii. Pemohon adalah bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan berkaitan dengan penilaian data, penafsiran, cara laporan dibuat, penyampaian hasil keputusan, pandangan-pandangan, penemuan-penemuan dan kesimpulan atau syor-syor yang dikemukakan. Segala maklumat-maklumat atau penemuan-penemuan yang diperolehi daripadanya adalah tidak mewakili pandangan-pandangan atau penemuan-penemuan oleh Jabatan Alam Sekitar.
(The Applicant shall be held responsible and liable for any further data evaluation and interpretation and the manner of reporting and presentation of the results; views; findings and conclusions or recommendations generated there-from. Such subsequently derived information by the Applicant shall in no way be construed to represent the views or findings of the Department of Environment).
iii. Jabatan Alam Sekitar hendaklah dimaklumkan terhadap sebarang data yang diperolehi daripadanya. Satu salinan yang berkaitan dengan bahagian atau seksyen dalam laporan atau penerbitan atau tesis atau dokumen berkaitan dengan data tersebut hendaklah dikemukakan kepada Jabatan dengan percuma dan untuk maksud tesebut, berikut disertakan alamat :
(The Department of Environment shall be acknowledged with respect to any data derived from it and a copy of the relevant part or section of any report or publication or thesis or document relating to such data shall be made available to the Department, free of charge and for which purpose the following address is provided) :
Jabatan Alam Sekitar
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Aras 2, Podium Blok 2
Lot 4G3, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62574 PUTRAJAYA
No. Telefon : 03-88712000
7. Sila ambil maklum bahawa kegagalan pihak Encik/Cik/Tuan/Puan untuk mematuhi syarat-syarat di atas boleh menyebabkan nama Encik/Cik/Tuan/Puan disenaraihitamkan oleh Jabatan ini dan permohonan pada masa akan datang oleh Encik/Cik/Tuan/Puan atau pelajar lain daripada Universiti yang sama tidak akan dipertimbangkan.
Sekian, terima kasih.
Saya yang menurut perintah,
Rosmani Mohd Yusoff
(SEKSYEN ANALISIS DAN APLIKASI DATA)
BAHAGIAN AIR & MARIN
JAB. ALAM SEKITAR
WISMA SUMBER ASLI,
PERSIARAN PERDANA,PRESINT 4,
62574 W.P PUTRAJAYA