LEE HWOK AUN
Date:03/10/2015 3:38 PM
Dengan hormatnya, saya menggesa supaya DOE melaporkan bacaan API semasa (mungkin purata 6 jam juga), sebagai maklumat yang penting kepada kesihatan awam.
Amalan sekarang – bacaan API purata 24 jam – wajar dan berpatutan bagi memantau keadaan dan untuk membuat keputusan seperti penutupan sekolah.
Namun, bagi orang awam dalam keputusan semasa – bolehkah saya keluar rumah SEKARANG – kita perlu merujuk kepada bacaan API semasa.
Pastinya tidak susah untuk menambahkan maklumat ini. Dua-tiga jadual boleh di sediakan di laman web – yang amat baik, dalam keadaannya sekarang, tetapi boleh ditambahbaikan lagi:
* bacaan API semasa
* bacaan API purata 6 jam lepas
* bacaan API purata 24 jam lepas
Diharap cadangan ini akan dipertimbangkan dan dilaksanakan dengan segera.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Dr. Lee Hwok Aun
Sat 10/3/2015 7:25 PM
Salam sejahtera Dr. Lee Hwok Aun,
Terima kasih di atas cadangan Dr untuk menambah baik bacaan API di dalam website kami. Ingin saya maklumkan di sini bahawa bacaan API di dalam tempoh purata 24 jam adalah yang diiktiraf sebagai standard protokol antarabangsa dari segi kesan kesihatan kepada manusia. Tempoh 24 jam dikira berdasarkan kepada kajian faktor pendedahan bahan pencemar yang selamat kepada kesihatan manusia normal.
Dalam keadaan di mana jerebu baru terjadi, faktor ini menyebabkan bacaan API tidak sepadan dengan jarak penglihatan dan tidak menggambarkan keadaan di luar yang sangat berjerebu. Bacaan API akan mengambil sedikti masa untuk mencapai ‘tidak sihat’ disebabkan kepekatan ‘in-situ’ PM10 yang baru meningkat. Jerebu akan menjadi bertambah teruk apabila terdapat kandungan wap air dalam udara yang tinggi mengelilingi habuk halus ini yang menyebabkan jarak penglihatan menjadi bertambah buruk.
Untuk makluman Dr, Jabatan kami telah melakukan yang terbaik dalam menyampaikan maklumat API kepada orang awam buat masa ini. Penambahbaikan dari segi penyampaian maklumat berkaitan jerebu memang sedang di dalam pertimbangan Jabatan ini dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang awam tetapi ianya perlu melalui beberapa prosedur dan mengambil sedikit masa. Walaubagaimanapun, terima kasih sekali lagi di atas cadangan yang dikemukakan.
Sekian.
Ezahtulsyahreen Ab Rahman
Environmental Control Officer
Air Division
Department of Environment
Aras 1-4, Podium Blok 2&3
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Persekutuan
62574 PUTRAJAYA