25/04/2012 – Surat Pekeliling Am Bil.2 Thn. 2012 – Seranta Awam Atas Talian Bagi Sebarang Cadangan Atau Pindaan Undang-Undang
PM (T) 10766/7
25 April 2012
Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan
SURAT PEKELILING AM BILANGAN 2 TAHUN 2012
SERANTA AWAM ATAS TALIAN(ONLINE PUBLIC ENGAGEMENT) BAGI SEBARANG CADANGAN BARU ATAU PINDAAN UNDANG-UNDANG
TUJUAN
1. Surat Pekeliling Am ini bertujuan untuk memaklumkan kepada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan supaya mengadakan seranta awam atas talian (online public engagement) bagi semua draf cadangan baru atau pindaan undang-undang (termasuk undang-undang kecil, dasar, peraturan, dan lain-lain), tidak kira sama ada cadangan baru atau pindaan tersebut perlu dibentangkan di Parlimen ataupun tidak.
LATARBELAKANG
2. Dalam mendukung prinsip-prinsip yang berkaitan dengan ketelusan dan kesaksamaan bagi pelaksanaan sesuatu undang-undang, adalah wajar input dan pandangan daripada semua pihak yang berkaitan diperoleh terlebih dahulu.
3. Ini adalah untuk memastikan elemen ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang di Malaysia supaya undang-undang yang bakal dikuatkuasakan boleh diterima pakai dan seterusnya mengelakkan konflik dan salah faham di kalangan rakyat. Ini juga akan memberikan keyakinan yang tinggi kepada pelabur asing dan tempatan serta organisasi antarabangsa berhubung proses pelaksanaan sesuatu undang-undang di negara ini.
4. Inisiatif ini juga boleh mewujudkan ruang persaingan yang lebih telus, adil dan kompetitif dalam konteks perniagaan di Malaysia, di samping membuka ruang kepada rakyat untuk mengemukakan pandangan dan input membina bagi memastikan undang-undang yang bakal diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
5. Selain itu, ini akan membantu Kerajaan dalam meningkatkan kualiti undang-undang yang bakal dilaksanakan dengan mengambil kira implikasi daripada pelaksanaan undang-undang tersebut dari peringkat awal lagi.
PELAKSANAAN
6. Carta alir bagi pelaksanaan inisiatif ini adalah seperti di Lampiran I, yang meliputi 2 Peringkat:
Peringkat 1: Pandangan Awal
6.1 Peringkat ini merupakan peringkat pengumpulan maklumat dan pandangan berkenaan sesuatu cadangan baru atau pindaan undang-undang, dasar atau peraturan yang akan diperkenalkan atau dilaksanakan oleh Kerajaan.
6.2 Kementerian hendaklah memaparkan pada laman sesawang masing-masing konsep cadangan atau pindaan tersebut untuk tempoh minimum 14 hari, bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan umum.
6.3 Seterusnya, Kementerian hendaklah mengumpulkan maklum balas dan pandangan dalam tempoh 5 hari bagi tujuan analisa dan perincian supaya dapat dimuatkan ke dalam draf cadangan baru atau pindaan undang-undang, dasar atau peraturan yang sedang digubal.
6.4 Walau bagaimanapun, Peringkat 1 ini tidak perlu dilaksanakan sekiranya Kementerian telah mempunyai mandat atau arahan yang jelas (contohnya keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri) supaya menyediakan cadangan baru atau pindaan undang-undang, dasar atau peraturan.
Peringkat 2: Paparan Draf Cadangan Baru / Pindaan
6.5 Draf cadangan baru atau pindaan undang-undang, dasar atau peraturan yang telah siap digubal hendaklah dipaparkan di laman sesawang Kementerian sebelum diangkat untuk diluluskan bagi tujuan pelaksanaan. Tempoh minimum 14 hari diberikan kepada masyarakat umum untuk mengemukakan maklum balas terhadap draf cadangan tersebut.
6.6 Seterusnya, Kementerian hendaklah mengumpulkan maklum balas dan pandangan dalam tempoh 5 hari bagi tujuan analisa dan perincian supaya maklum balas dan pandangan tersebut dapat dirumuskan. Contoh ringkasan maklum balas adalah seperti di Lampiran II.
6.7 Bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan di pihak Kerajaan, Ringkasan Maklum Balas hendaklah dipaparkan di laman sesawang Kementerian untuk tempoh minimum 14 hari lagi. Walau bagaimanapun, proses ini tidak menghalang proses berikutnya untuk dilaksanakan serentak.
PENGECUALIAN
7. Sebarang draf cadangan baru atau pindaan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara dikecualikan daripada mengguna pakai surat pekeliling ini.
TARIKH BERKUATKUASA
8. Peraturan ini berkuat kuasa mulai tarikh Surat Pekeliling Am ini dikeluarkan.
9. Peraturan ini adalah terpakai untuk tempoh maksimum 2 tahun, ataupun sehingga pekeliling baru yang berkaitan dengan “seranta awam atas talian” dikeluarkan sebelum tempoh 2 tahun tersebut tamat.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
(TAN SRI SIDEK HASSAN)